Peradaban Manusia Masih Primitif, Kata DR Mahathir
 
 
KUALA LUMPUR, 15 Okt  -- Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata peradaban manusia masih primitif dan sama dengan zaman batu kerana masih mengukur sesuatu kekuatan dengan kebolehan untuk membunuh lebih ramai manusia.

Katanya, ada pihak berpendapat sedemikian kerana pada masa ini jika sesuatu negara mampu membunuh lebih ramai daripada negara lain, ia dianggap kuasa besar.

 

"Jadi kita masih primitif sebab itu kita perlu cuba membawa perubahan pemikiran seperti ini, sebaliknya negara yang kaya dan kuat mampu menyelamatkan lebih ramai manusia yang berada dalam keadaan amat tertekan dan miskin dengan perbelanjaan yang sedikit sahaja," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu dalam rancangan "Khas Bersama Perdana Menteri" yang disiarkan oleh RTM pada Isnin malam.

Dalam rancangan itu Dr Mahathir ditemuramah mengenai kesan serangan 11 Sept di Amerika Syarikat terhadap ekonomi, politik dan keselamatan negara.

Dr Mahathir telah diminta pandangan mengenai persediaan Malaysia untuk menghadapi senario politik dunia yang dikatakan akan membawa perubahan pada masa depan, berikutan serangan pengganas dan pengeboman Afghanistan.

Ada pendapat mengatakan peristiwa itu akan menjejaskan Amerika sebagai kuasa besar dan berpendapat bahawa kuasa yang berikutnya ialah China.

Dr Mahathir berkata, Malaysia adalah sebuah negara kecil, dan baginya penggunaan kekerasan tidak akan menyelamatkan negara.

"Kita sedar ada kuasa besar di dunia, jika mereka mahu mereka boleh menawan Malaysia," katanya.

Perdana Menteri berkata, dunia sepatutnya sedar bahawa cara kekerasan bukan sahaja boleh diguna oleh kuasa besar tetapi sekarang ini kuasa kecil pun boleh menggunakan kekerasan.

"Kita harus membuat penilaian tentang kejayaan sesuatu negara bukan berasaskan kepada kemampuan mereka dalam bidang ketenteraan tetapi kemampuan mereka membangunkan negara mereka dan tidak menjejaskan pembangunan negara lain," katanya.

Dr Mahathir berkata, walaupun Malaysia telah banyak mencapai kemajuan dan diakui oleh banyak pihak di luar negara, masih ramai dalam negara yang tidak mahu mengakui kebenaran itu kerana mempunyai agenda politik sendiri.

"Ini amat menyedihkan kerana kalau kita bekerjasama kita akan dapat menjadi negara yang lebih maju daripada sekarang.

"Bagi kita perjuangan kita ialah untuk membangunkan negara kita sehingga menjadi sebuah negara maju.

Ini adalah satu jihad kerana bila kita menjadi negara maju, tekanan ke atas kita akan berkurangan kerana mereka mengiktirafkan kebolehan kita," katanya.

Perdana Menteri berkata, cara sedemikian adalah lebih baik daripada cuba berperang untuk melawan musuh-musuh atau menghantar rakyat ke peperangan yang belum pastinya menang atau tidak.

"Kalau kita jadi negara yang maju bukan sahaja boleh menang tapi orang tidak akan menekan kita," katanya.

Ditanya sama ada beliau melihat serangan di New York dan tindak balas Amerika Syarikat di Afghanistan sebagai satu perbalahan antara negara negara Islam dengan sistem Barat atau pertembungan peradaban, Dr Mahathir berkata beliau tidak melihatnya sebagai satu serangan ke atas agama Islam atau Islam.

"Kalau mereka nak musnahkan semua orang Islam agak mudah bagi mereka...

bila mereka lontar satu bom nuklear habis...

wipe out ratusan juta orang Islam.

Tetapi mereka tidak berbuat demikian, mereka menyerang cuma Afghanistan," katanya.

Perdana Menteri berkata walaupun Malaysia tidak bersetuju dengan serangan terhadap Afghanistan itu kerana ramai daripada orang yang tidak berdosa akan menjadi mangsa, tetapi ia bukan peperangan terhadap orang Islam.

Dr Mahathir berkata dalam menghadapi keadaan sekarang, orang Islam mesti mencari jalan dan memperkenalkan Islam kepada orang bukan Islam serta memperkenalkan Islam sebagai satu agama yang bertujuan mengadakan keamanan dan bukan peperangan.

Tumpuan perlu diberikan kepada puak ekstrimis Islam yang selalu bertindak keterlaluan tanpa bertanggungjawab kerana tindakan mereka memberi gambaran buruk terhadap orang Islam dan agama Islam.

"Apabila kita berasa kecewa kerana ini, kita juga ambil tindakan memburukkan lagi imej Islam.

Kita perlu rasional, termasuk dalam perkara ini juga kita perlu rasional.

Kita bukan nak perang dengan orang bukan Islam.

Kita tidak bersetuju dengan keganasan walaupun dilakukan oleh orang bukan Islam," katanya.

Dr Mahathir berkata, tindakan kumpulan pengganas membunuh ramai orang yang tidak bersalah termasuk dalam serangan ke atas New York dan Washington, atas nama jihad, bukan merupakan jihad.

Jihad katanya, boleh dilakukan dengan pelbagai cara termasuk membangunkan negara supaya menjadi begitu kuat sehingga tidak ada sesiapa boleh menekannya.

"Membangunkan negara Islam dengan cara menguasai ilmu, itu juga jihad.

Sebaliknya kalau kita perlu melawan musuh yang memusuhi kita, kita berperang dengan musuh tetapi kita membunuh orang yang tak ada kena-mengena dengan penindasan ke atas kita.

"Apa yang dilakukan ialah membunuh lebih enam ribu orang yang tidak ada kena-mengena dengan penindasan.

Daripada mereka ada rakyat Malaysia juga.

Apa kesalahan kita yang rakyat Malaysia perlu dibunuh," katanya.

Dr Mahathir berkata, perbuatan seumpama itu adalah tindakan ganas dan tidak mencerminkan jihad sebenarnya.

Perdana Menteri berkata jihad tidak perlu membunuh dan orang Islam tidak perlu mati dengan cara berperang seperti itu untuk ke syurga.

"Bagi bukan Islam mungkin tak faham, tetapi bagi orang Islam ini penting.

Kita harus ingat perjuangan Nabi Muhammad, dia tak mati dalam peperangan, namun dia mendapat tempat di Syurga," katanya.

Begitu juga dengan beberapa sahabat Nabi, mereka tidak mati dalam peperangan tetapi mereka juga ditempatkan di syurga.

"Menganggap bahawa hanya berperang, mengganas, membunuh orang dan dengan kerana itu kita dibunuh, maka itu adalah jihad dan akan menjadi syahid, itu adalah tak kena sama sekali mengikut ajaran Islam," katanya.

Mengenai pandangan bahawa beliau dilihat sebagai seorang yang tidak menyokong jihad termasuk menangkap anak Menteri Besar Kelantan Nik Adli Datuk Nik Abdul Aziz yang pernah berjihad di Afghanistan, Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap Nik Adli semasa dia berjihad di Afghanistan.

"Tetapi dia balik di sini dengan niat tumbangkan kerajaan dengna mengguna kekerasan, itu sebabnya dia dimasukkan dalam tahanan kerana tindakan itu akan mengakibatkan Malaysia menjadi lemah kerana perpecahan dan rusuhan," katanya.

Kerajaan tidak akan membenarkan Malaysia menjadi lemah kerana ada segelintir orang yang tak bertanggungjawab yang kononnya ingin melancar serangan ganas untuk menjatuhkan kerajaan kerana kecewa perjuangan melalui demokrasi, katanya.